Monday, December 14, 2009

Komen Keseluruhan Pertandingan Boria FEStKUM 2009

RANGKAP KARANGAN :
(30 % dari Markah Keseluruhan -)

Ia merupakan TONGGAK UTAMA permainan boria itu sendiri. Rosaknya Rangkap Karangan akan menyebabkan rosak juga Tukang Karang serta Sailor. Pada keseluruhannya kumpulan boria yang bertanding gagal menyediakan rangkap karangan yang betul-betul bermutu.Mungkinkah ini disebabkan kebanyakan kumpulan boria terlalu menumpukan kepada aspek gerak tari yang hanya mewakili 20% dari markah keseluruhan berbanding dengan rangkap karangan 30 % dan sketsa 30% (30 +30 = 60%) dari markah keseluruhan?

Ternyata bukan hanya di Pertandingan FEStKUM pandangan salah ini berlaku namun di Pulau Pinang sendiri berlaku. Penonton lebih mengadili kumpulan boria dari segi Gerak Tari, Tukang karang dan Muzik dari menilai keindahan bahasa Rangkap karangan dan Sketsa.Boria adalah medium penyampai maklumat dan mesej bukan hanya untuk hiburan semata-mata.

1. Pengenalan Kumpulan Boria

Ada kumpulan yang pada permulaan rangkap karangan tidak memperkenalkan nama kumpulan boria itu.(Perkara ini amat penting dalam disiplin boria)


Contohnya :

( PEMBUKA RANGKAP KARANGAN YANG BAIK)

Salam pembuka wadah pertama ( merendah diri dengan beri salam )
Boria S.................... tiba menjelma ( Nama kumpulan boria disebut)
Satu Malaysia tunjang utama (Tema satu Malaysia ditekankan)
Melestarikannya tugas bersama

Satu Malaysia seluruh negeri
Ilham istimewa Perdana Menteri
Rakyat didahulukan janji diberi
Boria Un......... tatap berseri
( Nama kumpulan boria disebut)

( PEMBUKA RANGKAP KARANGAN YANG KURENG BAIK SIKIT)

Satu Malaysia isu diutara
Bangsa bersatu sebulat suara
Rakyat didahulu itu yang ketara
Pencapaian diutama demi negara
(TIADA PENGENALAN KUMPULAN BORIA)

Satu Malaysia punya garapan
Jadi cabaran di masa depan
Mari kita menyahut harapan
Agar Malaysia bergemerlapan
(TIADA PENGENALAN KUMPULAN BORIA)

Satu Malaysia satu budaya
Berbilang bangsa tradisinya kaya
Boria yang satu bermacam rentak gaya
Pelbagai kaum turut sama berjaya
(TIADA PENGENALAN KUMPULAN BORIA)

TIGA Kumpulan terlepas pandang mengenai pengenalan kumpulan boria

2. Penutup Rangkap karangan

Setiap rangkap karang mestilah di akhiri dengan rangkap penutup. Rangkap penutup sekali lagi nama kumpulan boria ditonjolkan kembali dengan pengucapan permainan boria mereka akan tamat dan memohon kemaafan sekiranya ada terkasar bahasa.

Contohnya :

(PENUTUP RANGKAP KARANGAN YANG BAIK)

Setiap bermula ada penamat (penerangan permainan boria nak tamat)
Karangan boria sebarkan maklumat
Semoga semua mendapat rahmat
Boria Uni.... ucapkan selamat (nama kumpulan disebut lagi)

Sampai di sini cerita kita
(penerangan permainan boria nak tamat)
Boria Satu Malaysia jangan didusta (nama kumpulan disebut lagi)
Bersama pelihara sehati dan sekata
Agar kekal lama itu yang dipinta

(PENUTUP RANGKAP KARANGAN YANG KURENG BAIK SIKIT )

Sampai di sini mohon berhenti
Adanya silap sudahlah pasti
Maafkan kami jika terguris hati
Panjanglah umur berjumpa nanti (ulang 3 X)
( Tiada nama kumpulan disebut , pengulangan panjang umur berjumpa lagi diulang 3 kali adalah TIDAK PERLU )

Setakad tadi akhir karangan
Satu Malaysia berganding tangan
Apa yang tinggal jadi kenangan
Bersengketa kita haraplah jangan
( Tiada nama kumpulan disebut )

Dahulu rakyat pencapaian diutama
Slogan menjunjung murni amanah kita
Rukunegara jadi pegangan semua
Bersatu hati cinta pertiwi jiwa Satu Malaysia
( Tiada nama kumpulan disebut, sukukata akhir baris rangkap karangan SALAH (kesalahan besar punya!! ), tiada pengucapan akhiran rangkap karangan )

dan seterusnya...ada banyak kumpulan yang gagal menamatkan rangkap karangan dengan baik.

3. Kesalahan sukukata akhir pada rangkap karangan

Diantara contoh pilihan :

Negeri kaya warisan dunia
Berbilang budaya dan juga agama
Ayuh semai rasa satu cinta bangsa merdeka
Bersama membina negara bangsa berjaya

Salam Satu malaysia salam perpaduan
Kami dari U....... punya satu tujuan
Saranan menteri kita menjadi impian
Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan
(ini adalah rangkap sailor... perkara yang amat penting kerana ia diulang berulang kali...setiap kali diulang...kesalahan berulang)

Pembuka kalam salam diberi
Boria Sri T............ tampil menyeri
Ayuhlah bersama kita selusuri
bangsa Malaysia janji terpatri

(ini adalah rangkap sailor... perkara yang amat penting kerana ia diulang berulang kali...setiap kali diulang...kesalahan berulang)

16 September sejarah terpatri
Terbentuk Malaysia teguh berdiri
Berbilang kaum budaya berseri
5 prinsip peneguh kendiri
( bahasa digunakan amat baik namun begitu mungkin penulis terlepas pandang sebutan sukukata TERPATRI bukanlah TERPAT RI... )

Sari dan Cheong Sam juga kebaya
Dipakai cantik anggun indah mempersona
Rayakan bersama acara Malaysia
Perpaduan dijaga saling bertemu mesra

(suku kata akhir SALAH DENGAN KETARA )


4. Kesinambungan ayat dan pengertian baris rangkap karangan

Hubung kait diantara baris serta pergertian bahasa dalam rangkap karangan mesih di tahap sederhana. Penulis lebih cenderung untuk melengkapkan suku kata akhir baris supaya sama dari mengkaji apakah perkaitan maksud yang ingin disampaikan dalam rangkap karangan.

Contohnya :

Satu boria satu deria
Warisan seni bukan sukaria
Rangkap bermakna rangsangan deria
Rakyat sejahtera hidup jadi ceria

Tanda perpaduan nasihat diberi
Tidak kira bangsa atau negeri
Hati terbuka tandanya seri
Hidup sepakat tiada sendiri


Semua komen dan pandangan ini hanyalah dari sudut pandangan saya...tidak melibatkan pandangan dari 2 orang juri hakim yang lain namun begitu saya hanya banyak menumpukan kepada aspek muzikal dan lagu.


Kesimpulan

Sebakul pujian dan ucapan terima kasih atas layanan dari segi penginapan, pengangkutan serta makan minum oleh penganjur khususnya buat staff Kebudayaan UKM seperti Pengarah & Timbalan Pengarah, Pn Lina. Pn Ayu, Cik Siti, Cik Sherry, Abang Yusof dan lain lain lagi. Terima kasih atas layanan dan sempat juga bawa kami melawat UKM dan kawasan sekitar dan mengenali Kedai Azura,Village View dan Pasaraya MU.

Sekalung pujian dan terima kasih kerana kesemua kumpulan boria universiti yang mengambil bahagian telah membuat persediaan rapi dari aspek muzikal dengan gubahan dan susunan muzik yang amat menarik... ternyata Warisan Boria Pulau Pinang masih boleh menerima elemen dan kreativiti generasi baru asalkan elemen atau kreativiti itu tidak merosak atau menjejaskan keaslian permainan warisan boria Pulau Pinang. Setiap kreativiti itu kalau dilakukan secara maksima kadang-kadang bukan mendatangkan kebaikan sebaliknya mendatangkan keburukan di mana keaslian boria ini akan terhakis.

Lihat sahaja keindahan warisan Dikir Barat Kelantan yang masih terpelihara dengan baik tanpa ada elemen yang boleh merosakkannya baik dari segi disiplin lagu bermula dengan bertabuh/Lagu Juara/Lagu Yengki/Lagu Tukang Karut kreatif /Lagu Irama Wau Bulan dan disudahi dengan Bertabuh maupun peralatan muziknya.


Namun begitu apa sahaja komen yang saya berikan ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas dan tiada kena mengena dengan niat ingin menjatuhkan martabat atau nama kumpulan boria universiti yang bertanding. Saya amat berharap agar pengunjung dapat menilai dengan hati yang terbuka tanpa ada diskriminasi atau pemberatan terhadap kumpulan boria pilihan. Keikhlasan ingin melihat warisan Boria Pulau Pinang dimartabatkan bukan dijahanamkan oleh golongan yang terlalu berfikiran terbuka hingga keaslian permainan boria menjadi kontemporari.

Percayalah Boria Pulau Pinang telahpun menerima banyak perubahan Sinkratik... cukuplah...jangan kita jahanamkan ia dengan pergerakan tarian yang akan membuatkan generasi wawasan nanti keliru dengan persamaan Permainan Boria dan Tarian Moden.

Sepuluh jari disusun merendahkan diri,
Ampun dan Maaf harap diberi,
Terkasar bahasa tanpa disedari,
Semuanya demi anak negeri.

Buat tatapan
pencinta seni warisan,
moga jadi panduan anak wawasan,
Budaya bukan hanya untuk hiasan,
Pulihkan boria dengan langkah yang berkesan

Coretan dan luahan :

Shidee ( B. Mus hons )


Catatan :

Kalau ada masa... nanti saya akan kupas apakah adap dan tingkah laku Tukang Karang (TK) semasa permainan boria, siapakah Tukang Karang, Peranan Tukang Karang serta gaya sebutan bahasa atau patah ayat rangkap karangan

dan

Pergerakan Sailor yang rata-rata saya dapati (kebanyakan dari kumpulan boria FEStKUM 2009) menyerupai pergerakkan tarian kontemporari malahan ada kumpulan yang telah TERLEPAS PANDANG pergerakkan asas sailor iaitu LANGKAH SILANG.( boleh lihat-lihat di youtube dengan kata kunci : festkum) Terima kasih daun keladi kepada pengirim video..

Sesungguhnya tiada apa yang hendak disembunyikan atau berat sebelah dari juri setelah gabungan markah sketsa/rangkap karangan /muzik & lagu /Persembahan dan Busana dicampur menjadikan markah penuh 110%. Tiada peruntukan markah untuk Tukang Karang jadi (TK) yang buat kesilapan tu tak perlu salahkan diri atau bersedih kerana ia hanya akan merosakkan sedikit pada markah Persembahan, kalau lupa lirik cacat sedikit pada markah rangkap karangan/persembahan kalau menyanyi pitching lari atau jenuh ligan tempo (masalah tempo) ia akan melibatkan pengurangan markah muzik dan lagu.

Sememangnya semua pasukan telah memberi persembahan yang terbaik.... bak kata vince.... TIADA PENGKALAH... adat bertanding ada yang tak menang dan ada yang menang... so yang penting saya amat berbangga, berterima kasih tak terhingga kepada adik-adik or anak-anak wawasan mahasisiwa telah berusaha sejujur dan sehabis baik untuk memartabatkan warisan boria.